BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, June 20, 2009

takut

Saya ada beberapa sebab untuk berasa letih. Saya baru pulang dari Shah Alam. Perjalanan beribu-ribu batu hanya untuk menghadiri mesyuarat yang saya kira maha penting. Habis sahaja mesyuarat, saya terus pulang ke rumah saya di Putrajaya. Naik bas Rapid KL dari seksyen 18 ke Stesen KTM harganya RM 1.00. Dari Shah Alam, naik komuter ke KL Sentral, harganya RM 2.50. Sampai sahaja di Kuala Lumpur, saya fikir mahu sahaja naik ERL pulang ke Putrajaya. Tetapi, memandangkan saya ada urusan penting di Hospital Kuala Lumpur (HKL) saya ubah laluan saya.

Dari KL Sentral menaiki Monorail dan turun di Chow Kit, harganya RM 2.50. Kemudian, berjalan kaki sejauh 1 km ke HKL. Selesaikan beberapa perkara. Seterusnya berjalan kaki ke stesen LRT Titiwangsa. Dari Titiwangsa, menaiki LRT ke Bandar Tasik Selatan, harganya RM 2.20. Seterusnya, dari situ saya menaiki ERL ke Putrajaya, tambangnya RM 5.30. ( kalau anda bosan dengan perenggan ini tolong abaikan )

Jadi, dalam sehari saya telah membelanjakan sebanyak RM 13.50. Sekarang anda faham mengapa saya perlu berasa letih? Tapi keletihan saya terubat juga bila memikirkan yang saya boleh survive di Kuala Lumpur. Anak Pulau Pinang boleh hidup di Kuala Lumpur. Saya tersenyum bangga sambil fikiran saya mengulangkan-ulangkan frasa tersebut;

Anak jati Penang boleh hidup di Kuala Lumpur...

Anak jati Penang boleh hidup di Kuala Lumpur....

Anak jati Penang boleh hidup di Kuala Lumpur....

Owh saya sangat berbangga, Mahu sahaja saya peluk dan cium Petronas Twin Tower, memeluk Menara Kuala Lumpur. Jakun sikit, biasalah kan. Sampai sahaja di Putrajaya, saya menaiki bas Nadi Putra ke rumah saya. Naik sahaja ke atas bas, mata saya melilau untuk mencari tempat duduk. Lantas, saya ambil keputusan untuk duduk berdekatan dengan pemandu bas tersebut. Sementara menunggu bas untuk bergerak, saya terpandangkan beberapa orang yang naik bas yang sama dengan saya. Ada orang melayu, orang Arab, Orang Putih tetapi yang paling menarik perhatian saya adalah melihatkan pasangan muda ini bersama anak mereka. Ayahnya orang Africa, ibunya orang cina. Dan anaknya yang masih bayi, mahu dikatakan bangsa apa ya? Saya pun tidak pasti.

Setelah beberapa ketika, bas itu pun memulakan perjalanan. Sampai sahaja di satu destinasi, kesemua penumpang bas tersebut turun termasuklah pasangan Africa Cina itu bersama anak mereka. Jadi sekarang hanya tinggal saya dan pemandu bas tersebut.

Sebaik sahaja mereka turun dari bas, Pemandu bas itu berkata kepada saya
" Apa la!! Dah macam takda orang lain. Mamat Negro tu yang dia nak"
Saya pun ketawa sahaja. Kalau tidak memberikan apa-apa respons, nanti dicop sombong pula. Kemudian saya pun membalas ringkas
"dah jodoh dia"
Pak cik itu terus menyambung " Anak saudara saya pun ada kahwin kacukan jugak. Kahwin dengan orang mamak"
"Owh" jawab saya ringkas juga. Tidak tahu mahu memberikan apa-apa respons.
" Tapi anak saudara saya kulit putih melepak, cantik, macam kamu lah"
Kali ini saya kaget. Amboi, pak cik ni nak menggatal pula. Saya diam sahaja kali ini.
"belajar mana ni?" tanya pak cik itu
"UiTM Shah Alam"
"sekarang cuti ke?"
"aah. Sampai bulan 7"
"Dah ada boyfriend?"
"Dah bertunang" Saya terpaksa tipu sunat . Hati saya terus berdoa semoga dia tidak bertanya siapa 'tunang' saya pula.

Saya bersifat pasif kali ini. Diam sahaja, sambil hati saya berdoa semoga cepat sampai. Bila sahaja sampai di rumah saya, saya ucapkan terima kasih kepada pak cik itu dan terus turun dari bas tersebut.

Bila bas tersebut berlalu, saya memarahi diri saya sendiri

Anak jati Penang sekarang dah takut nak hidup di Kuala Lumpur



Bosan dengan Teknologi

Apakah yang dimaksudkan dengan teknologi? Teknologi adalah perubahan dalam seharian kita yang bergantung kepada kecanggihan sains. Tanpa teknologi, hidup kita pasti seperti manusia di zaman batu yang hanya bercawat menggunakan kulit binatang dan jalani hidup dengan sentiasa dikejar dinasour. Arghhhh..bosan... intro karangan budak sekolah rendah. Abaikan

Saya tidak sukakan teknologi. Jika anda sudah habis baca ayat ini, sila bunuh saya. Ini kerana saya sedang menipu anda. Tapi sedar atau tidak, teknologi sedang menghakis cara hidup kita. Teknologi juga menjadi kayu ukur sosio-ekonomi :

1. Telefon bimbit yang tebal + berat + kurang fungsi = milik orang miskin
2. Telefon bimbit yang nipis + ringan + banyak fungsi = milik orang kaya

Jadi, beritahu saya sekarang, adakah teknologi menjadi kayu ukur sosio-ekonomi anda? Hidup saya dikelilingi dengan teknologi. Dari Tv, Laptop, MP3..apa lagi ya? Terlalu banyak sehingga saya terlupa. Tetapi saya tidak layak untuk masuk ke kategori kedua, kerana barang-barang teknologi saya adalah dari jenis CIKAI. Kalau jual di Low Yat pun, pasti di-reject oleh amoi-amoi yang berpakaian seksi di sana.

Bila saya sudah bosan, MP3 saya pasti jadi peneman yang setia. Senang. Tak payah cari boyfriend. Sumbat earphone ke dalam telinga, tekan butang 'on', dan terus layan lagu yang mengasyikkan jiwa. Kalau boyfriend..haih...payah aih nak hidup.. ( saya terdesak, jangan hentam perenggan ini )

Satu hari, bila terasa bosan, saya capai 'boyfriend' saya. Saya tekan butang 'on' sambil fikiran saya merewang-rewang memikirkan lagu yang saya ingin dengari. Saya inginkan lagu-lagu yang sesuai dengan jiwa saya yang jiwang ini.

Aneh. MP3 saya telah terpasang, skrin telah memaparkan lagu. Aneh. Tiada bunyi yang kedengaran. Aneh juga kerana saya telah memaksimumkan bunyi nya. Hati saya mula risau. Saya tak mahu MP3 saya rosak. Bagi saya, MP3 itu adalah nyawa saya. Saya tak sanggup kehilangannya ( jiwang nya )

Saya ketuk MP3 itu berkali-kali. Tak berhasil. Kali ini saya gandakan kuasa, ketuk dengan lebih kuat, macam nak hancur je MP3 tu. Bila saya risau, saya akan rasa tertekan dan saya mula memikirkan perkara bukan-bukan. Saya mula bayangkan duit saya bakal melayang untuk membaiki MP3 itu, bayangkan hidup saya yang kesunyian tanpa nya, bayangkan kesemua perkara buruk, dan bayangan itu membuatkan saya tertekan. Kenapalah takda bunyi ni?

Saya tak nak mengalah. Saya selidik lagi sekali punca MP3 saya tidak mengeluarkan bunyi. Periksa setiap inci gadget itu sambil berdoa semoga perkara buruk tidak terjadi kepadanya. Setelah membelek beberapa kali, barulah saya ketahui apa masalahnya.

Earphone belum disambungkan ke telinga. Masih tersangkut di bahu.

Monday, June 15, 2009

Biasalah orang pertama kali masak kan

Jam biologi saya sudah rosak. Jatuh terhempas dari altitude 5000 m aras laut,terhempas dan pecah berderai jatuh ke lantai. Sudah tidak boleh diselamatkan. Jadual hidup saya memang sudah tunggang langgang. Saya akan mengemas rumah,sapu sampah pada pukul 2 pagi dan pada pukul 5 pagi baru saya tidur. Waktu bangun tidur pula, hanya beberapa detik sebelum waktu menjadi tengah hari. Saya cuba untuk fikir positif, saya anggap saya sedang menjadi Pak Guard rumah saya pada waktu-waktu malam begini. Tolong jangan komen perenggan ini, saya sedang terdesak.

Saya ingin menjadi isteri mithali, satu hari nanti.Ya,satu hari nanti, mungkin 3 tahun lagi, mungkin 6 tahun lagi, dan mungkin juga 10 tahun lagi. Saya tak nak, bakal ibu mertua saya complaint tidak tentu pasal jika saya tidak pandai membuat kerja rumah. Saya tak nak ibu mertua saya sama garangnya seperti filem Ibu Mertua. Taubat, saya tak nak!! Silakan jika anda ingin komen perenggan ini, kali ini saya tidak terdesak.

Jumaat lepas, saya dalam keadaan terdesak. Ibu saya keluar. Ayah saya keluar. Adik-adik saya menjerit kelaparan ( okay, yang ini saya pandai-pandai tambah sendiri ). Tiada orang untuk memasak. Atas dasar penuh tanggungjawab sebagai seorang yang ingin menjadi isteri mithali suatu hari nanti, saya masuk ke dapur. Saya buat pusingan 360 darjah di sekeliling dapur, saya selongkar peti sejuk, saya selongkar almari dapur, otak saya berligat-ligat mencari idea untuk memasak makanan.

Saya nampak sotong beku dalam peti sejuk. Saya keluarkan, rendamkan dalam air dan terus saya mendapat idea untuk masakan saya pada hari itu. Maklumlah,pertama kali masak kan. Saya letak kuali atas dapur, buka api dapur, tuangkan sedikit minyak sambil-sambil berdoa semoga masakan saya kali ini menjadi. Kemudian, saya masukkan sotong yang telah direbus sebelumnya.

Biasalah orang pertama kali masak kan

Sekarang sampai lah ke bahagian yang paling kritikal. Bagi juruterbang, bahagian yang paling kritikal adalah mendaratkan pesawat, bagi pekerja kilang, bahagian yang paling kritikal adalah semasa menunggu kedatangan bas kilang. Bagi penduduk kampung saya, bahagian yang paling kritikal adalah mengelak najis lembu di tengah-tengah jalan. Bagi saya pula, selaku tukang masak armatur, bahagian yang paling kritikal adalah ketika memasukkan cili boh ke dalam masakan saya.

Biasalah orang pertama kali masak kan

Saya masukkan satu sudu cili ke dalam kuali. Hairan, tak bertukar ke warna merah pun. Saya letakkan lagi satu sudu cili, masih tidak bertukar ke warna merah. Saya tak berputus asa, saya masukkan lagi satu cili ke dalam masakan saya, juga masih tidak bertukar warna. Akibat terlalu geram dengan kondisi masakan saya yang tidak bertukar warna, saya masukkan tiga sudu besar cili sekaligus. Masih tidak dapat menghilangkan perasaan geram saya, saya masukkan pula sos cili sampai habis setengah botol. Saya tersenyum sinis di dapur sorang-sorang. Baru padan muka sotong-sotong ni.

Biasalah orang pertama kali masak kan

Pengalaman pertama adalah pengalaman yang paling indah. Jadi, saya tidak mahu mensia-siakan pengalaman ini. Lihatlah dunia, gambar masakan pertama saya di atas muka bumi ini.




Biasalah orang pertama kali masak kan. Jakun sikit

Bila ibu bapa saya pulang, saya hidangkan makanan kepada mereka. Saya akan sujud syukur jika ibu bapa saya katakan masakan pertama saya sedap. Saya lihat, ibu saya berselera juga makan. Bila saya tanya pendapat ibu saya, ini jawabnya :
" Sedap..sedap, lepas piawai ni"
Saya tersenyum sendirian, sedang saya mengalamun keseorangan, ibu saya mencelah
" Tapi pedas sikit lah"
Saya pandang muka ibu saya, menagihkan simpati supaya ibu saya tidak lagi mengkritik masakan saya. Saya lihat ahli keluarga saya yang lain begitu berselara makan masakan saya.

Biasalah orang pertama kali masak kan

Keesokan harinya, satu tragedi menimpa keluarga saya. Mungkinkah berpunca dari saya? Saya tidak tahu mengapa. Mahu tahu apa yang terjadi?

Seluruh keluarga saya diserang cirit-birit

Saturday, June 13, 2009

merapu

kalau anda sudah tengok cerita Terminator Salvation, anda perlu tahu asal-usul cerita ini. John Connor adalah anak kepada Sarah Connor. Anak ini hasil daripada hubungan tanpa nikah dengan Kyle Reese. Kyle Reese dihantar dari tahun 2018 untuk bersama dengan Sarah Connor pada tahun 1984 (lihat Terminator 1 ) .Sarah Connor mati dalam Terminator 2, akibat letupan nuklear. Skynet pula adalah mesin atau lebih dikenali sebagai robot yang pada asalnya dicipta untuk melindungi manusia. Tapi, pada Terminator 3 - The Rise of Machine, kesalahan konfigurasi telah membuatkan misi Skynet bertukar untuk membunuh manusia. John Connor dan beberapa orang manusia terselamat, jadi mereka berjuang menentang Skynet, dan kumpulan manusia ini dinamakan Resistance.


muahahahaha....baru puas ati aku, bila dapat tulis pasal Terminator ni. Tension betul bila orang2 complaint kata cerita ni x bes. Kalau nak faham, kena lah x tengok daripada cerita Terminator tahun 1984. Ni x, complaint jek....eee..menyampah gila. Sampai hati diorang kutuk Terminator kesayangan aku tu...huhuhu, kalau nak kutuk cerita tu, langkah mayat aku dulu. I'm the Terminator's no 1 fan........!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

p/s : tolong jangan hentam pos ini. Saya sedang cuba untuk meluahkan perasaan..geram2!!!!!!

Thursday, June 11, 2009

ringkas

sekarang anda pejam mata. Pegang tangan saya. Saya akan bawa anda terbang ke dunia lain. Sudah pejam..?
okay..
1...
2...
3...

sekarang buka mata. surprise!!
anda sekarang ini berada di negara di mana penjenayah terkenal diiktiraf dunia. Runsing? Mahu tahu kenapa. Klik sini



Big mama kau tak nak bagi anugerah pulak

Tuesday, June 9, 2009

Entry Jiwang, kalau tidak suka sila jangan baca

Jiwang tidak semestinya romantik. Jadi jiwang itu kadang-kala bagus untuk kesihatan. Jadi jiwang juga mungkin boleh meningkatkan kreativiti kita. Contohnya, kreativiti kita dapat dizahirkan melalui penulisan puisi, lagu atau fantasi. Kadang-kala saya juga suka berangan, berangan ada lelaki yang akan menyanyikan lagu cinta untuk saya. Dia memetik gitar, menyanyikan lagu untuk saya sambil saya memerhatikannya dengan penuh perasaan cinta. Untuk lebih jiwang lagi, saya mahu dia menyanyikan lagu untuk saya di taman yang dipenuhi bunga-bunga mekar pada malam yang sunyi sepi ditemani dengan bulan purnama.
( Owh...ini adalah pertama kali saya menulis sesuatu yang se-jiwang ini. Tersangatlah kekok)

Lelaki dicptakan perempuan dan perempuan diciptakan untuk lelaki.Haih.. Okay, cukuplah penulisan jiwang saya setakat ini, terasa seperti hendak muntah. Saya bukan dilahirkan untuk menjadi seorang yang jiwang, tetapi persekitaran saya yang membuatkan saya menjadi seorang jiwang.Anda mahu percaya atau tidak? Biar saya berikan beberapa situasi

Situasi 1 :
Saya dibesarkan di Butterworth, Pulau Pinang. Jiran saya terdiri daripada sebuah keluarga melayu. Saya masih ingat lagi, saya suka bermain dengan anak-anaknya. Masa itu pun saya masih kecil. Bila petang sahaja, saya akan menghilangkan diri dan bermain dengan mereka. Alah..biasalah budak-budak kan? Ibu saya, melihatkan saya agak rapat dengan seorang kanak-kanak ini, namanya Syazwan (kalau tak silap saya ) bergurau mahu menjodohkan saya dengannya. Bayangkan budak kecil yang muka innocent seperti saya digosipkan dengan seorang budak lelaki. Malunya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sejak digosipkan dengannya, terus saya berhenti bermain dengannya. Biasalah budak-budak kan? Sampai ke hari ini, jika saya teringatkan peristiwa ini pasti saya akan tersenyum sendirian. Sekarang anda nyatakan, adakah saya memang dilahirkan sebagai seorang yang jiwang atau persekitaran saya yang membuatkan saya jiwang?

Situasi 2 :
Kali ini saya sudah besar sedikit. Sudah boleh membezakan baik dan buruk. Dah mumayyiz kot...apekah? Saya meminati karya-karya romantik. Zaman itu, adalah zaman kegemilangan kumpulan vokal lelaki. Saya sangat meminati Westlife dan Backstreet Boys. Bila sudah terlalu minat, saya akan melayan kesemua lagu mereka, menghafal lirik lagu tersebut, dan cuba menghayati setiap satu demi satu perkataan dalam lirik tersebut. Owh sangat jiwang, saya tahu. Bagaimana saya betul-betul mahu menghayati lagu tersebut? Saya masih ingat lagi, waktu itu saya sudah berumur 12 tahun. Saya masuk ke dalam bilik saya, kuncikan pintu bilik, pasang radio ( zaman itu takda MP3 lagi ) dan semestinya lagu yang dipasang adalah lagu Westlife. Selepas itu saya akan buka tingkap bilik saya ( okay..masa tu malam hari ), dan sambil mendengar lagu-lagu tersebut, saya akan merenung ke bulan. Saya renung ke bulan, sambil ingatan saya terawang-awang membayangkan ada lelaki menyanyikan lagu tersebut kepada saya. Sekarang anda beritahu saya, adakah saya seorang yang jiwang atau persekitaran yang membuatkan saya jiwang?

Situasi 3 :
Okay..kali ini sudah besar. Tetapi masih belum bersedia mahu mendirikan rumah tangga. Sekali lagi, apekah? Zaman ini, saat ini, detik ini. Jika saya menoleh ke belakang, saya tidak menyangka, sukar untuk percaya yang saya akan genap 19 tahun pada 29 Jun ini. Sungguh cepat masa berlalu dan banyak juga situasi yang membuatkan saya menjadi semakin jiwang. Terus-terang saya katakan di sini, bila sudah berumur 19 tahun, saya rasa perlu bagi saya mencari pasangan yang sesuai ( terasa mahu delete ayat ini..tapi biarlah ). 19 sudah cukup besar, tidak begitu kawan-kawan sekalian? Saya ada seorang nenek yang saya amat rapat. Satu hari kami berbual kosong. Bila sudah tidak ada topik yang ingin dibualkan lagi, nenek saya memecah kesunyian
" kamu bila nak kawen Liyana?".

Saya terkejut dengan pertanyaan nenek saya, sambil mengerutkan dahi, saya menjawab pertanyaanya

" uih...orang nak belajar dulu la".

Kemudian nenek saya mencemik
"huh...mahu 10 tahun lagi tu, ntah-ntah kamu nanti jadi anak dara tua apa".

Saya pun membalas " anak dara tua pun okay pe, ramai je anak dara tua sekarang ni".

Kemudian dia menyambung " takde lah, kamu tu nak jadi doktor, belajar kat luar negara pula nanti, agak-agak la kan kalau kamu kawen nanti, berapa duit hantaran yang kamu nak letak?"

kali ini pertanyaan nenek saya memang memeranjatkan saya. Saya kerutkan dahi, buat muka serius,otak saya berlegar-legar mencari jawapan untuk mengelakkan saya dicop sebagai seorang yang jiwang,lantas saya pandang ke mata nenek saya dan membalas

" RM 50 000 okay tak?"

Friday, June 5, 2009

lari dari normal amatlah bagus

Saya ada seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan. Memandangkan saya sedang bercuti sekarang, saya hanya ingin menulis mengenai keluarga saya. Adik lelaki saya ini berumur 16 tahun, perangainya sama seperti budak-budak lelaki lain, layan indie band yang ntah apa-apa, suka keluar hu-ha-hu-ha dengan kawan-kawannya dan amat suka dengan bola sepak ( lihat post terdahulu ). Pendirian saya masih sama hari ini iaitu, bola sepak itu adalah sukan yang amat membosankan.

Saya dengan adik lelaki saya sering tidak mempunyai pendapat yang sama. Pernah suatu hari saya menerima panggilan telefon dari kawan saya. Kami berborak panjang. Kebetulan sewaktu saya menerima panggilan telefon itu, adik lelaki saya ada berdekatan saya. Habis sahaja berbual, saya letakkan telefon kembali di tempat asal, berpusing 180 darjah ke belakang dan saya terpandangkan adik lelaki saya sedang melihat saya sambil tersenyum sinis. Kemudian, dia ketawa sekuat hati
" eleh...mentang-mentang la duduk Shah Alam, cakap slang KL la pulak. Korang la, kitaorang la, diorang la...lupa habis vocab utara " dia cuba untuk menyakitkan hati saya.

" biaq la...yang hang kalut ni awat nya.Hang pun bukan dah tukaq slang ka?" saya cuba untuk membela diri saya

" mana ada. Hang la yang tukaq slang" adik saya cuba membangga diri

"eleh..hang belajaq kat RMC mesti senyap-senyap tukaq slang kan?" saya memadangnya sambil memberi senyuman sinis

senyap...
senyap....
senyap...

" Perempuan kan, mesti ubah slang kalau duk kat tempat lain" adik saya cuba lagi untuk menyakitkan hati saya.

"Habeh tu..kalau orang cakap utara, depa bukannya nak paham pun" sekali lagi saya membela diri.

"tau la hang malu nak cakap utara" kali ni adik saya betul-betul menyakitkan hati saya

senyap...
senyap...
senyap...

Tiba-tiba, telefon bimbit adik saya berbunyi, dia mencapai telefon bimbit tersebut, tekan butang jawab dan saya terdengar adik saya berbual

" eh...kalau kite bawak dia sekali, takpe kot. Korang jangan la lupa yek. Kitaorang nak ikut sekali la..kih..kih..kih"



Nota kaki : Orang - saya, depa - mereka

Wednesday, June 3, 2009

Saya mahu lari dari tradisi, tapi tidak boleh.

Satu perangai orang Malaysia adalah terlalu taksub dengan kepercayaan tahyul. Semua benda yang nampak menyeramkan sikit mahu dikaitkan dengan hantu. Nampak pokok besar sikit, dikatakan penunggu, nampak rumah yang sudah lama tidak diduduki dikatakan ada penunggu, gelak kuat-kuat malam-malam dikatakan menganggu penunggu. Saya pun tidak tahu mengapakah semua perkara mahu dikaitkan dengan penunggu. Agak-agak hantu pun takut dengan kita ke?

Saya baru berpindah ke Putrajaya, kawasan perumahan yang kami tinggal adalah di kawasan apartment. Ada jiran di kiri, kanan, atas dan bawah. Memandangkan kawasan perumahan ini baru sahaja dibina, jadi tidak ramai lah penduduk di kawasan ini. Sekadar dua tiga kerat orang ada lah. Kalau jumpa di tenga jalan pun sekadar senyum dan bertegur sapa sedikit.

Jiran tingkat bawah saya kerap bergaduh besar.Suami isteri bergaduh saya tidak mahu masuk campur. Krisis mereka di tahap merah, bergaduh sambil menjerit-jerit, mencarut, menangis, pecahkan pinggan mangkuk, menjerit meminta tolong, pecahkan tong sampah dan juga pernah sekali suami nya tidak membenarkan isterinya memasuki rumah. Hal rumah tangga orang saya tidak mahu masuk campur, lebih baik saya menonton Sponge Bob atau bermain dengan adik saya daripada memasang telinga mendengar pergaduhan mereka.

Nenek saya suka berceritakan hal mereka kepada saya. Saya sekadar dengar, angguk-angguk kosong dan memberi ekspresi suam-suam kuku. Bak kata orang ' masuk telinga kiri keluar telinga kanan'. Sesuatu yang saya tidak boleh lupakan, nenek saya terlalu bersemangat berceritakan hal mereka, bercerita sambil membeliakkan biji matanya, meninggikan intonasi suaranya dan menekankan hak-hak sebagai wanita. Saya pula sekadar angguk-angguk kosong. Agaknya, nenek saya ini memang ada bakat untuk jadi perunding Kementerian Kebajikan Wanita dan Masyarakat.

Satu hari terjadi lah perbualan antara kami,
" orang kat bawah ni tak abes-abes berkelahi" nenek saya mulakan perbualan

"ye ke? " jawab saya ringkas

" Risau lah..menjerit-jerit bini dia semalam, menangis-nangis mintak tolong" cerita nenek saya sambil mengerutkan dahinya

" owh" jawab saya seringkas yang boleh

" Takde lah...takut nanti kalau suami dia pukul bini dia, tak pasal-pasal pulak dia bunuh bini dia nanti" nenek saya menyambung perbualannya

Saya cuma angguk kosong, beri senyuman sinis dan tidak memberikan apa-apa respons

1 saat..... saya masih tidak memberikan repons
2 saat..... saya masih juga tidak memberikan respons
3 saat......saya masih lagi tidak memberikan respons..

Melihatkan saya yang hanya berdiam diri,nenek saya pun menyambung..

" Agak-agak, kalau kena bunuh, bini dia jadi hantu tak?"